Bidang perkapalan bukan halangan untuk Wanita
Inspirasi didefinisikan sebagai satu perlakuan yang memberi manfaat kepada manusia untuk diikuti dalam kehidupan mereka. Inspirasi mampu membuka minda manusia untuk lebih bersemangat dalam mengejar impian, cita-cita dan hala tuju mereka. Walau bagaimanapun, perkataan ‘inspirasi’ hanyalah lahir dalam diri manusia yang suka mengejar kejayaan dengan menjadikan orang-orang yang telah berjaya sebagai semangat mereka untuk mengecapi sebuah kejayaan. Orang lain boleh memandang rendah terhadap kita tetapi kita mampu mengubah pandangan tersebut dengan sebuah keberhasilan yang menakjubkan.
​
Contohnya, diskriminasi gender yang berlaku dalam bidang pekerjaan menyebabkan wanita sering dikatakan tidak mampu untuk melakukan pekerjaan lelaki.
​
Menurut Eksekutif Kesihatan, Keselamatan, Pertahanan dan Persekitaran (HSSE) yang merupakan pekerja operasi keselamatan wanita yang pertama di Jurong Port Tank Terminals (JPTT) Nurazilah Jamlan, pada awalnya, dia juga turut berasa ragu-ragu dan bimbang untuk menguasai industri maritim kerana pekerjaan tersebut masih secara konvesional iaitu dikuasai oleh lelaki. Tetapi, dia sentiasa mengawal dirinya dari segi mental, fizikal dan emosi sehinggakan perasaan ragu-ragu dan bimbang hilang dalam dirinya.
​
Nurazilah menceritakan pengalamannya dalam artikel BERITAmediacorp bahawa pernah ada orang yang menasihatinya untuk mencari pekerjaan yang lebih feminin tetapi nasihat tersebut dianggap sebagai komen kepada pekerjaannya dan komen tersebut telah mendorongnya untuk lebih berjaya dalam industri maritim malah mampu membuka mata masyarakat luar bahawa wanita juga boleh melakukan pekerjaan yang dikatakan lebih dominan kepada lelaki.
​
Nurazilah mengatakan bahawa ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang untuk berjaya ialah keseimbangan dan keazaman. Kedua-dua ciri ini sangatlah susah untuk diamalkan dalam kehidupan namun ianya boleh dijadikan inspirasi kepada orang lain jika berjaya dikuasai. Tambahan pula, jika wanita yang mengamalkan ciri-ciri tersebut sudah tentu kualitinya membolehkan wanita membuktikan nilai mereka kepada masyarakat luar. Stereotaip manusia sememangnya tidak boleh diubah, tetapi kita boleh mengembangkan lagi pemikiran mereka dengan membuktikan kejayaan kita melalui usaha-usaha yang telah dikerahkan.
​
Oleh itu, seseorang yang telah melalui pengalaman pahit manis dalam mengejar kejayaan sangatlah digalakkan untuk berkongsi cerita mereka kepada orang lain agar boleh dijadikan inspirasi yang bermanfaat malah bertambah semangat untuk melakukan sesuatu perkara.
Sumber: BERITAmediacorp