top of page

Futsal bukan hanya sukan untuk lelaki

IMG_20220116_140505.jpg

“Lagipun saya memang sangat aktif dengan sukan olahraga sejak dari sekolah rendah dan keluarga saya tidak pernah menghalang selagi saya mampu membahagi masa untuk memenuhi tanggungjawab terhadap keperluan & keutamaan kepada mereka,” katanya.

Sumber: Mira

Sukan futsal semakin mendapat sambutan di kalangan wanita. Namun begitu, masih ramai lagi masyarakat yang tidak didedahkan dengan sukan tersebut. Ramai orang percaya bahawa sukan ini hanyalah untuk lelaki.

 

Walaupun futsal sering dilihat sebagai sukan untuk lelaki, namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini wanita sudah mula mengambil alih sukan itu dan mendapat perhatian daripada orang ramai.

 

Jurulatih futsal, Mira, 41, menyatakan penglibatan beliau secara aktif dengan sukan futsal adalah sejak dari tahun 2008. Selepas berjaya mendapat sijil kejurulatihan dibawah anjuran FAM/AFC, beliau dipanggil oleh beberapa orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membimbing pasukan futsal di situ secara sukarela. Ketika itu, sukan futsal di USM untuk pasukan wanita tidak begitu aktif.

​

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, beliau menjelaskan cabaran yang paling besar adalah melatih pasukan yang kebanyakannya terdiri daripada pemain pada kategori permulaan yang baru ingin bermain futsal. Selain daripada itu, berdepan dengan masalah pengurusan yang melibatkan penyediaan tempat latihan yang selamat dan selesa serta kekurangan alatan sukan juga menjadi cabaran baginya.

​

“Setiap sukan ada sisi gelapnya, antaranya ialah sukan futsal. Tetapi futsal adalah salah satu sukan yang mampu memupuk sifat-sifat positif di kalangan pemain, bergantung kepada cara kejurulatihan menggunakan pendekatan tertentu sebagai platform”, kata Mira.

 

Tambahnya lagi, beliau juga berpendapat bahawa walau apa pun jenis sukan itu, yang penting setiap sukan yang diceburi haruslah mampu membentuk setiap wanita yang terlibat menjadi insan yang berkualiti dan berjiwa kental selain daripada menjadikan wanita itu kuat dari segi mental dan emosi. Malahan, bersukan baik untuk kesihatan.

​

“Saya hanya perlu memperluaskan serta menambahkan lagi ilmu dan pengalaman saya untuk menjadi jurulatih yang lebih berwibawa selama mana khidmat saya diperlukan agar saya sentiasa "deliver" yang terbaik untuk keperluan pasukan mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan”, jelasnya lagi.

 

Menurut Mira, wanita yang ingin terlibat dengan sukan futsal perlu mempunyai minat. Kemahiran boleh diasah tapi minat adalah sesuatu yang datang dari dalam diri setiap orang. Jadi, jangan sia-siakan minat yang ada sebab saat itu hanya datang sekali untuk dinikmati dan dengan minat itu juga boleh menyumbang sesuatu kepada negara.

​

Tambahnya lagi, beliau melibatkan diri dengan sukan futsal atas dasar minat dan hobi semata-mata.

bottom of page