Officewoman beri inspirasi kepada Wanita
Wanita yang suka bekerja tidak menjadikan alasan malas untuk ‘goyang kaki’ di rumah sahaja. Malah, pembahagian masa juga telah diatur dengan baik untuk menjadikan hari-hari yang dijalani lebih produktif.
Terdapat segelintir orang menjadikan sesuatu pekerjaan adalah beban kepada mereka kerana tidak dapat menguruskan keluarga, suami dan anak-anak dalam seharian dengan sistematik dan terurus. Hal ini menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menjadi suri rumah sahaja.
Sememangnya menjadi suri rumah mempunyai banyak kelebihan. Tetapi, tidak menjadi masalah jika seseorang wanita itu untuk bekerja meringankan beban keluarga atau mencari pendapatan yang lebih untuk diri-sendiri.
Menurut salah seorang Pegawai Sokongan Jualan di syarikat Toyota Capital, Petaling Jaya, Nur Fazlin Ede, 22, dia lebih memilih untuk bekerja berbanding menjadi suri rumah walaupun kini dia masih berstatus bujang.
​
“Saya cuba untuk bekerja setelah menamatkan pengajian ijazah dalam bidang Bussiness Administration (International Bussiness) di Universiti Teknologi Mara, Merbok. Hal ini dikatakan demikian kerana saya tidak ingin bergantung kepada ayah mahupun keluarga yang lain untuk mempunyai wang sendiri di tangan. Saya tidak kisah sama ada pekerjaan yang saya miliki bergaji mahal atau sederhana asalkan cukup untuk menampung makan minum saya tanpa berharap kepada orang lain. Itu sudah memadai buat saya,” ujar Fazlin.
Sumber: Nur Fazlin Ede
Fazlin merupakan seorang anak muda yang rajin bekerja sejak daripada tamat zaman persekolahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun pada ketika itu hanya memperolehi gaji kecil sahaja.
Pada Fazlin, setiap pekerjaan yang dilakukan menjadi pengalaman terindah untuknya yang tidak mensia-siakan hari-harinya dengan perkara yang tidak berfaedah.
“Saya akan merasakan hari-hari saya begitu bermakna apabila mempunyai kerja yang ingin dibuat. Contohnya, saya akan kurang melayani media sosial, bermain telefon pintar dalam jangka masa yang lama dan menghabiskan masa di pusat membeli-belah. Sememangnya perkara ini tidak menjadi satu kesalahan, namun tidak bermanfaat jika sering melakukanya. Pada pendapat saya, dengan menghadap telefon pintar yang lama boleh menyebabkan mata kita cepat rosak dan sebagainya,” jelasnya.
Fazlin yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik tidak gentar apabila berjauhan dengan keluarga demi mengejar cita-citanya untuk menjadi wanita yang bekerjaya dalam masa yang sama mampu berdikari dengan persekitaran yang berbeza-beza.
Fazlin mengatakan bahawa dia bangga menjadi wanita yang mempunyai pekerjaan sendiri kerana telah mencapai matlamat bapanya untuk melihatnya berjaya setelah berpenat lelah mencari rezeki menyara persekolahan sejak daripada tadika hingga ke peringkat ijazah.
“Tindakan wanita yang suka berusaha lebih atau melakukan sesuatu kerja melebihi tenaga lelaki patut dihargai kerana mereka telah menaikkan imej wanita tanpa sedar supaya tidak dipandang remeh oleh kaum lelaki. Biarkan lelaki berasa bangga dengan kita kerana berjaya menjalankan kehidupan tanpa menyusahkan orang-orang sekeliling untuk menyara kita” tambahnya lagi.
Ujar Fazlin, wanita tidak perlu risau dari segi pembahagian masa.
“Saya berkata sedemikian kerana setiap orang akan pandai dalam mengurus masa apabila setiap hari kita berlatih perkara yang sama. Oleh sebab itu, bekerja dahulu kemudian perlahan-lahan ajarkan diri untuk membahagi masa dengan baik. Dengan izin Allah, kita semua mampu menjalani hari-hari kita dengan masa yang mencukupi,” kata Fazlin.
Penyertaan kaum wnita dalam tenaga kerja tidak sedikit pun akan mengurangkan tanggungjawab kita sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Malah, mendorong dan menjadi contoh kepada wanita di luar sana untuk lebih berpendidikan tinggi dan berjaya dalam sesuatu bidang yang diminati.
Fazlin berharap agar Malaysia berjaya melahirkan lebih ramai wanita yang bekerjaya dan menghapuskan budaya patriarki yang sering mengatakan lelaki sahaja harus bekerja dan wanita perlu berada di rumah.