Gagal urus diri punca wujud tekanan
Kehidupan manusia yang mencabar dan kompleks telah menyebabkan wujudnya perasaan tekanan yang mempengaruhi kehidupan seseorang manusia. Tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa kita sedar. Tekanan bukanlah suatu perkara asing bagi masyarakat di negara Malaysia. Masalah ini biasanya dialami oleh semua manusia apabila mereka berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan dan menyusahkan.
Tekanan dan kehidupan amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan seseorang, faktor keluarga, proses urbanisasi dan kejutan budaya terhadap perkembangan pemodenan yang mendadak sehingga menjadi sebahagian daripada penyakit mental. Menurut Ketua Pakar dan Kasih Sayang, Prof Dr Rozieta Shaary, dalam rumah tangga, kebanyakan wanita berasa tertekan kerana tidak mampu mengawal diri. Tekanan mungkin boleh disebabkan suami dan anak, namun ia boleh dikawal sekiranya wanita tahu menguruskan emosi dan berfikiran rasional.
Gambar: Carian Google
Keadaan tekanan ini akan memberi persepsi terhadap seseorang dan kemampuannya untuk mengatasi sesuatu permintaaan, ketidakseimbangan ini akan menyebabkan berlakunya stress dalam diri individu tersebut. Masalah tekanan ini sememangnya telah menjadi sebahagian daripada asam garam kehidupan. Dalam isu kini, tekanan juga turut dirasai oleh wanita berkerjaya kerana terpaksa menguruskan kerja di pejabat dan komitmen keluarga dalam satu masa. Tidak kurang juga yang memperjuangkan susah payah suri rumah menguruskan anak, mengemas, memasak, melayan kerenah anak dan kehendak suami serta pelbagai cabaran lain.
Kegagalan mengawal aspek ini akhirnya akan menentukan ke mana tekanan yang dialami seseorang itu akan dilepaskan. Tambahan pula, masalah tekanan ini telah menjadi lumrah kehidupan kerana pelbagai faktor yang menyebabkan ianya berlaku dan seterusnya memberi kesan yang negatif kepada kesihatan mental. Isu tekanan itu tidak terhenti di situ kerana ia boleh bermula dari rumah disebabkan bebanan tugas mengurus keluarga, faktor kewangan, kurangan sokongan, hubungan antara isteri, suami dan anak yang menyebabkan institusi kekeluargaan kucar-kacir memberi implikasi berterusan sehingga ke tempat kerja.
​
Justeru, dalam hal ini, apa yang paling membimbangkan adalah isu tekanan dan emosi yang tidak dapat dibendung dan semakin menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutamanya golongan wanita. Oleh hal demikian, terdapat banyak cara yang perlu diamalkan seperti menjaga gaya hidup dengan sihat, prihatin, saling berkomunikasi, bersosial dan ceria sebagai terapi diri untuk mengelakkan mereka daripada sebarang kekusutan. Bukan itu sahaja, para wanita juga harus mempelajari untuk menguruskan diri mereka dengan lebih baik dalam pelbagai aspek yang penting dalam kehidupan seharian.
Artikel: Akhbar Harian Metro