top of page

Teknik Pomodoro bantu penjagaan masa dengan efektif

Teknik pomodoro adalah salah satu kaedah pengurusan masa yang diperkenalkan oleh seorang pelajar universiti, iaitu Francesco Cirillo pada akhir 1980-an yang sukar untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan tugasannya. Yang menariknya, pomodora ini bermaksud tomato dalan Bahasa Itali! Ini kerana, Cirillo menemui pemasa dapur yang berbentuk tomato dan dari situ lahirlah teknik pomodoro ini.

 

Teknik ini menggunakan pemasa untuk membahagikan sesuatu kerja menjadi satu set selang masa yang dipisahkan dengan waktu rehat. Setiap selang masa itulah yang dikenali sebagai pomodoro. Biasanya, teknik ini menggunakan formula “25 minit bekerja, 5 minit rehat” dan ianya akan diulang sebanyak 4 kali dimana masa yang diambil keseluruhannya adalah selama 2 jam.

​

Bagaimana hendak melakukan teknik pomodoro ini? Caranya mudah! Ini adalah lima langkah asas yang perlu anda lakukan.

teknik pomodoro.jpg

1. Senaraikan tugas yang ingin dilakukan dan sediakan pemasa (timer)

2. Tetapkan pemasa selama 25 minit dan fokus membuat satu tugasan sahaja dulu sehingga pemasa berbunyi.

3. Rehat untuk 5 minit.

4. Ulang semula langkah 2 untuk 3 ke 4 kali.

5. Selepas habis 4 pusingan, anda boleh mengambil masa berehat yang lama sekitar 15-30 minit.

 

Waktu rehat yang ada, bolehlah anda gunakan untuk bangun sebentar, regangkan badan dan rehatkan mata dan minda. Jadi, bagi memastikan teknik ini berkesan, pastikan anda fokus untuk menyiapkan satu tugasan sahaja dalam satu masa.

​

Tempoh masa selama 25 minit yang diambil adalah merupakan teras kepada kaedah pomodoro ini. Namun, amalan dalam pomodoro ini juga melibatkan tiga peraturan penting untuk setiap pengamal memanfaatkan setiap selang masa.

  • Pecahkan projek yang kompleks. Jika tugasan memerlukan lebih daripada empat pomodoro, bahagikan kepada langkah yang kecil.

  • Tugas kecil dilakukan bersama. Sebarang tugasan yang akan mengambil kurang daripada satu pomodoro perlu digabungkan dengan tugas kecil yang lain.

  • Sebaik sahaja pomodoro ditetapkan, ia mesti berdering. Pomodoro adalah unit masa yang tidak boleh dibahagikan dan tidak boleh dipecahkan. Maka, elakkan daripada sebarang gangguan lain selain tugasan yang perlu disiapkan.

​

Secara keseluruhannya, teknik pomodoro ini adalah antara teknik yang boleh diamalkan oleh semua individu dalam melakukan sebarang kerja. Apa yang anda perlukan adalah pemasa, kertas, pensil dan tugasan anda sahaja! Sememangnya, teknik ini sangat membantu semasa anda hilang motivasi atau menghadapi kesukaran dalam menyusun masa untuk membuat kerja.

 

Jika anda sudah biasa dengan teknik pomodoro ini, pastinya anda akan berasa berbaloi dengan hasil yang akan anda perolehi sepanjang anda melakukan sesi pomodoro ini. Ayuh, inilah masanya untuk anda bertukar kepada teknik pomodoro ini supaya masa yang anda ada akan dapat digunakan dengan sebaiknya. Selamat beramal!


 

Rujukan:

https://todoist.com/productivity-methods/pomodoro-technique

https://www.lifehack.org/articles/productivity/the-pomodoro-technique-is-it-right-for-you.html 

​

bottom of page