Penglibatan Wanita dalam sukan
Aktiviti sukan merupakan aktiviti fizikal yang boleh dilakukan oleh setiap masyarakat untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil untuk mengeluarkan peluh. Bersukan dapat menjamin kesihatan tubuh seseorang kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal dan juga mental yang juga sebagai langkah untuk mencegah penyakit-penyakit kronik seperti obesiti.
​
Namun begitu, masih terdapat lagi segelintir masyarakat yang berpandangan bahawa pembabitan wanita dalam aktiviti sukan akan berakhir pada tempoh tertentu sekiranya mereka berkahwin, mempunyai anak mahupun meningkat usia.
​
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Harian Metro, kadar penyertaan wanita dalam sukan juga adalah rendah berbanding dengan lelaki di Malaysia. Menurut data yang dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), terdapat hanya 1,844 atlet wanita berbanding 2,483 atlet lelaki yang menyertai mana-mana bidang sukan pada tahun 2018.
Seperti yang telah dilakukan oleh Pantene pada tahun 2019, mereka telah memperkenalkan Braids of Strength bagi kempen #wanitabesi iaitu tujuannya adalah untuk menggalakkan semangat jati diri serta meningkatkan keyakinan setiap wanita untuk mencapai impian yang diinginkan oleh mereka.
​
Kempen ini juga memberi peluang untuk wanita meningkatkan semangat dan memberi inspirasi supaya kekal bersukan dengan gaya rambut yang sesuai mengikut keselesaan aktiviti sukan tersebut.
​
Seterusnya, menerusi kenyataan daripada Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasa penglibatan wanita dalam pelbagai bidang sukan.
​
Katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN), Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu untuk meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan.
Kurasi: Akhbar Harian Metro